16 May 2010

CHELSEA JUARA PIALA FA


LONDON – Chelsea mencatat kejuaraan berganda domestik setelah mempertahankan kejuaraan Piala FA dengan menewaskan Portsmouth 1-0 di Stadium Wembley, semalam.

Penyerang Ivory Coast, Didier Drogba menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-59 menerusi sepakan percuma, selepas Kevin Prince-Boateng gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Portsmouth.

Pemain tengah Chelsea, Frank Lampard turut terlepas peluang menjaringkan gol kedua buat pasukannya apabila sepakan penalti yang dilakukannya tersasar daripada gawang pada minit ke-88.

Kejayaan itu membuka peluang pasukan dari barat London itu mempertahankan Piala FA setelah menewaskan Everton musim lalu.

Walaupun Blues yang baru sahaja dimahkotakan juara Liga Perdana England berjaya mendominasi perlawanan separuh masa pertama, percubaan Drogba, Lampard, Salomon Kalou dan John Terry tinggi melepasi palang.

Chelsea mula mengubah rentak permainan selepas pemain Portsmouth, Boateng yang melakukan sepakan penalti pada minit ke-56, selepas Juliano Belletti menjatuhkan Aruna Dindane, berjaya diselamatkan penjaga gol Blues, Petr Cech.

Drogba yang meledakkan gol hasil sepakan percuma dari jarak 25 meter tiga minit berikutnya, mengekalkan rekod menjaringkan gol dalam semua enam perlawanan kompetetif bersama Chelsea di Wembley - tiga perlawanan separuh akhir dan tiga aksi akhir Piala FA.

sumber:utusan malaysia.

No comments: